SEKAPUR SIREH

Sejarah Penubuhan

Ditubuhkan pada bulan Julai,2001 oleh Allahyarham Ustaz Mohd. Hussain bin Haji Abdul Rahman bersama rakan-rakannya yang cintakan pendidikan Islam.Beliau merupakan Imam Khairiah Kampong Charuk Bemban,Kupang dan juga seorang guru agama di salah sebuah sekolah menengah agama di daerah ini.

Diperingkat awal penubuhan,rumah ini telah memulakan sesi pengjarannya dengan mengambil seramai 18 orang pelajar yang ditempatkan sementara di sebuah bangunan di Kampung Charuk Sikin,Mukim Pulai,Kupang.

Setelah sesi pengajian pertama berlangsung selama 2 tahun,sambutan yang diterima dari masyarakat semakin menggalakkan dengan jumlah pendaftaran pelajar meningkat kepada 70 orang.Rumah yang sediada tidak dapat lagi menampung kapasiti tersebut.

Justeru itu,pihak Lembaga Tadbir telah mengambil keputusan untuk berpindah ke tapak yang lebih selesa dan kekal kini iaitu Lot 4185,mukim Pulai,09200 Kupang,Negeri Kedah Darul Aman.

Rumah Yakin Al-Wadi merupakan sebuah badan kebajikan yang berorientasikan pendidikan tanpa mencari sebarang keuntungan duniawi.Antara objektif utamanya adalah untuk memberi peluang pendidikan yang lebih terjamin kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya anak-anak yatim dan anak-anak fakir/miskin yang mempunyai potensi untuk meneruskan pelajaran tetapi terhalang oleh kedhaifan setelah hilang tempat bergantung.

Rumah ini mendokong cita-cita untuk mendidik anak-anak ke arah pengabdian diri yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT dengan dihiasi akhlak yang mulia dalam memakmurkan dunia menerusi kaedah penekanan pendidikan ilmu fardhu ain tanpa mengabaikan fardhu kifayah.

Kesemua kelas-kelas pengajian,aktiviti,kegiatan,makanan,minuman,tempat tinggal serta kemudahan lain di Rumah Yakin Al-Wadi ini disediakan secara percuma. Ini adalah kerana ianya dibiayai sepenuhnya menerusi dana dan sumbangan orang ramai.


Dasar Penubuhan

Melaksanakan Manhaj Pendidikan Islam berpandukan Al-Quran dan Sunnah dengan mengutamakan pendidikan ilmu Fardhu Ain  tanpa mengabaikan pendidikan ilmu Fardhu Kifayah.
 

Falsafah Penubuhan

Pendidikannya nanti dapat melahirkan insan kamil yang mempunyai budaya ilmu,berkemahiran dan menghayati ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan mempunyai keperibadian muslimin/muslimah yang sejati,berakhlak mulia serta mempunyai jati diri dalam merealisasikan hidup sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di muka bumi ini mengikut keredhaan Nya baik di dunia mahu pun akhirat.


Objektif Penubuhan

1. Membentuk dan mengasuh anak-anak yang kurang bernasib baik ini ke arah kesempurnaan akhlak Islam
    yang mulia.

2. Melahirkan bakal ulama mutaqin yang mentaati ajaran Allah SWT dan Rasul secara keseluruhannyanya
    untuk generasi akan datang.

3. Melatih dan menyemai semangat cintakan Islam dikalangan anak-anak Al-Wadi supaya sentiasa istiqamah
    dalam amalan-amalan yang dituntut syarak

4. Membentuk dan menanamkan semangat menuntut ilmu yang bermanfaat untuk diamalkan dengan mencari
    keredhaan Allah SWT yang hakiki serta bukan hanya semata-mata segulung sijil dan habuan duniawi.  

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada :
Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim/Miskin Al-Wadi
Rumah Yakin Al-Wadi
Lot 4185 Kupang,09200 Baling,Negeri Kedah Darul Aman
Tel: 04-47249895   Fax : 04-4727720  @ Ustaz Daud (Penyelia) :
013-4001001